UUM ONLINE: Sebagai seorang pendidik sudah pasti akan berasa sedih apabila melihat statistik menunjukkan 50,235 atau 11 peratus murid Tahun Satu di Malaysia masih tidak dapat menguasai Bahasa Melayu.
Fenomena ini menyuntik inspirasi kepada Dr. Nurulwahida Azid @ Aziz dan Prof. Madya Dato’ Dr. Nuraini Yusoff untuk menyumbang kepada anak bangsa sehingga terhasil produk penyelidikan iaitu ‘Cerdik BM’.
Lebih membanggakan, dedikasi mereka tanpa mengenal erti penat dan jemu itu berjaya meraih Anugerah Emas pada Persidangan dan Expo Antarabangsa Ciptaan Institut Pengajian Tinggi (PECIPTA) 2019 yang berlangsung di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Johor, baru-baru ini.
Dr. Nurulwahida berkata, dia terpanggil untuk membina alat pedagogi bagi membantu murid menguasai Bahasa Melayu dengan mudah melalui pembelajaran yang menyeronokkan.
“Produk Cerdik BM Siri 1 ini sangat menarik kerana aplikasi interaktif itu menggabungkan lima elemen multimedia iaitu teks, grafik, animasi, audio dan video yang dicipta khas untuk murid yang tidak menguasai Literasi Bahasa Melayu (LINUS).
“Fun learning environment telah dicipta bagi menarik minat pelajar untuk belajar selain penginterasian virtual games based learning dalam aktiviti pembelajaran juga menjadi tarikan guru dan pelajar,” kata pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden (SEML) itu.
Menurutnya, cabaran yang dihadapi semasa menyiapkan projek daripada research based itu ialah dengan memastikan aplikasi interaktif ini selaras dengan teori dan modul yang boleh diterima pakai di seluruh dunia.
Katanya, masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan projek ini pula hanya tujuh bulan sahaja dan mencabar diri kami berdua kerana pembinaan aplikasi itu turut mengambil kira tujuh jenis kecerdasan pelbagai kanak-kanak.
“Alhamdulillah, sambutan terhadap produk ini amat menggalakkan terutamanya dalam kalangan guru-guru berkeperluan khas di Daerah Kubang Pasu dan Kota Setar, Kedah serta Pasir Gudang, Johor.
“Kini, produk Cerdik BM sudah memasuki pasaran dan dipasarkan dalam bentuk pendrive yang mana setakat ini 150 unit pendrive telah terjual,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Nuraini mengakui menimba banyak pengalaman sepanjang terlibat dengan projek ini antaranya dapat bekerjasama dengan agensi luar seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa ibunda negara ini.
“Saya bersyukur dan perasaan semestinya amat teruja kerana dapat membantu murid-murid mempelajari Bahasa Melayu dan membantu guru-guru bagi melancarkan proses pengajaran dan pemudahcaraan dalam mengajar murid-murid yang tidak melepasi saringan literasi Bahasa Melayu.
“Harapan saya pada masa akan datang adalah kami diberi dana seumpama ini oleh KPM dan DBP bagi membantu murid-murid dan generasi akan datang dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu dan menghapuskan buta huruf dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Sumber berita : UUM Corp Comm