INISIATIF STRATEGIK TN50 MENDOKONG HASRAT PERDANA MENTERI BANGUNKAN NEGARA MENJELANG 2050

tn50

 

UUM ONLINE: Dalam usaha kerajaan menjadikan Malaysia negara maju dengan memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 (TN50), UUM turut tidak ketinggalan bersama-sama mendokong usaha tersebut dengan menganjurkan Program Inisiatif Strategik Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Ahli Lembaga Pengarah UUM selama dua hari di EDC Hotels & Resorts.

Perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Siti Sa'diah Sheikh Bakir, malam tadi.

Dalam ucaptama beliau berkata, program itu penting dalam melestarikan hasrat YAB Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju merangkumi aspek pendidikan, politik, kos sara hidup, sukan dan seni budaya, agama dan perpaduan, alam sekitar, hubungan luar, kesejahteraan bandar, makroekonomi serta sains dan teknologi.

Katanya, sebagai satu wadah perjuangan Malaysia dalam membentuk pemimpin masa hadapan, UUM perlu meningkatkan komitmen untuk tambah nilai kepada pihak berkepentingan atau pemegang taruh.

"Amanah ini perlu dilaksanakan walaupun zaman berubah demi rakyat dan negara yang dikasihi.

"Tambahan pula dunia kini semakin maju, rentak kemajuan semakin rancak dirasakan, malah ilmu dan kemampuan menjadi teras kehidupan abad ini dan disokong pula dengan penjanaan kapasiti berterusan dan lestari," ujar beliau.

Kata YBhg Tan Sri lagi, era ini negara memerlukan transformasi, mengubah ke arah menjadi negara maju mengikut definisi global.

Menurutnya, TN50 adalah seiring dengan Bajet 2017 yang dibentangkan YAB Perdana Menteri pada Oktober lalu dan ia merupakan satu gagasan baharu menjelang 2050.

Ujar beliau, TN50 juga adalah aspirasi masa hadapan yang menggalakkan generasi muda mencapai wawasan lebih gemilang dibawah lembayung negara yang maju, berdaulat dan sejahtera.

"Terdapat beberapa mega trend bakal mengubah dunia termasuk Malaysia menjelang 2050 iaitu politik, ekonomi, sosial, teknologi dan persekitaran.

"Justeru, universiti juga perlu pikul tanggungjawab besar dan penting apabila melihat mega trend semasa ini yang berlaku dan perlu menjadi pemangkin yang menjadi penentu kepada perkara bakal berlaku," katanya.

Tambahnya lagi, tugas sebagai pendidik di menara gading sangat signifikan dalam membantu anak bangsa mencapai aspirasi walaupun dunia mengalami transformasi besar.

Menurutnya, UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka perlu mengaplikasikan teori-teori dan model pengurusan yang ada untuk membantu mencetuskan idea dan mengatasi impak mega trend menjelang 2050, di samping idea baharu dalam transformasi negara dan pengurusan untuk meningkatkan prestasi institusi ini.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, program tersebut merupakan cetusan idea dan inisiatif YBhg Tan Sri yang berpengalaman dalam bidang korporat untuk dimanfaatkan di peringkat universiti.

Ujarnya, menerusi program itu juga diharap semua peserta terlibat dapat menyumbang input atau idea kepada kerajaan khususnya kerana dalam tempoh 2017 hingga 2019 merupakan tahun untuk mengumpul input untuk TN50.

"Selain merancang masa hadapan universiti sahaja, kita juga perlu merancang untuk negara.

"Justeru, input yang dihasilkan nanti bukan sahaja berguna di peringkat nasional, malah antarabangsa serta memberi impak juga kepada universiti dan sistem pendidikan tinggi negara. Ini menjadi salah satu sumbangan UUM kepada negara," katanya.

Program Inisiatif Strategik Transformasi Nasional 2050 itu melibatkan lebih 80 penjawat utama dan Ketua PTJ UUM yang membincangkan topik diberikan secara berkumpulan dan membuat pembentangan/resolusi mengikut topik yang digariskan dalam TN50.

 

Sumber berita : UKK UUM

uum icon mygov msc mampu myideas myline tourism krste sirim_____________________________________________________________________________________________________________new footer june