AUDIT DALAM MyRA - KE ARAH PENCAPAIAN R&D YANG LEBIH BAIK

auditmyradalam2018

Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah melaksanakan Audit Dalam Malaysia Research Assessment Instrument (MyRA) 2017 yang berlangsung di Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), UUM pada 6 Mac 2018 lalu. 

Proses audit dalaman MyRA ini julung kalinya diadakan untuk penilaian data tahun 2017 di mana pada tahun-tahun sebelumnya hanya Audit Dokumen dan Audit Tapak di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sahaja yang dijalankan. Audit dalam ini dikendalikan oleh pensyarah UUM, Prof. Dr. Sany Sanuri Mohd. Mokhtar selaku ketua juruaudit dalam MyRA UUM yang dilantik oleh KPT.

Selain itu, turut serta sebagai juruaudit ialah Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi, Prof. Madya Dr. Azizah Haji Ahmad, Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf, Prof. Madya Dr. Azham Hussain, dan Dr. Nooraini Yusoff semuanya dari UUM. Juruaudit-juruaudit yang telah diberi latihan oleh pihak KPT pada awal tahun ini telah ditugaskan untuk mengaudit data UUM seksyen (A hingga H) mengikut kepakaran masing-masing.

Tujuan audit dalam ini dijalankan adalah untuk memberi peluang kepada UUM bagi mengesahkan penilaian kendiri (self-audit), memastikan data pencapaian penyelidikan tahunan yang dikumpulkan adalah mengikut Glosari MyRA yang ditetapkan dan menyemak semula kesahihan setiap data dengan memastikan ianya disokong dengan bahan-bahan bukti yang tepat. 

Seramai 25 orang pembekal data daripada jabatan yang berkaitan serta kakitangan RIMC yang terlibat secara langsung dalam pengumpulan dan penghantaran data MyRA 2017.

“Berdasarkan pemerhatian, pencapaian MyRA 2017 berada dalam prestasi yang agak memuaskan. Apa yang perlu dilakukan adalah membuat penambahbaikan menerusi teguran-teguran yang telah diberikan oleh para juruaudit bagi memperkukuhkan lagi pencapaian kali ini”, ulas Prof. Dr. Sany Sanuri selaku ketua juruaudit sewaktu memberikan laporan keseluruhan.

Sementara itu, Pengarah RIMC, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata, beliau amat berharap agar Ahli Jawatankuasa (AJK) Pembekal Data MyRA 2017 perlu lebih bersedia dan dapat membuat persiapan yang lebih rapi bagi menghadapi Penilaian Audit Dokumen dan Tapak MyRA 2017 yang akan datang.

uum icon mygov msc mampu myideas myline tourism krste sirim_____________________________________________________________________________________________________________new footer june