UUM ONLINE: Pengerusi Yayasan Muhibah, Tan Sri Dato’ Paduka Fng Ah Seng, membuat kejutan apabila mengumumkan sumbangan sebanyak RM40 ribu bagi menjayakan program UUM-ABC Endurance Challenge 2022.
Kejutan berkenaan diumumkan di hadapan Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Prof. Dr. Nor Aziah Abd. Manaf dalam pertemuan yang berlangsung hampir dua jam di Wisma Epic Valley, Perai, Pulau Pinang baru-baru ini.
Pertemuan berkenaan bertujuan menyerahkan laporan penggunaan dana sumbangan Yayasan Muhibah di samping membincangkan perkembangan terkini pusat pengajian dan program UUM-ABC Endurance Challenge 2022.
Selaku pengarah program Misi Kemanusiaan UUM-ABC Endurance Challenge 2022, Nor Aziah amat berterima kasih atas sumbangan yang diberí yayasan berkenaan sebelum ini.
Malah, beliau turut menyatakan komitmen akan terus memanfaatkan dana berkenaan bagi tujuan pembangunan staf dan pelajar.
Terbaharu, sumbangan tersebut akan digunakan untuk membiayai bengkel penyelidikan dan penerbitan yang akan berlangsung di Sungai Petani selama tiga hari, bermula 24 hingga 26 Ogos ini.
Program UUM-ABC Endurance Challenge 2022 merupakan cetusan idea Fng tetapi terpaksa ditangguh kerana sekatan perjalanan ke luar negara pada 2020 apabila pandemik Covid-19 berlaku.
20 peserta dari kalangan kakitangan iaitu 11 dari TISSA, Jabatan Pembangunan Penyenggaraan (2), dan masing-masing seorang dari Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Pusat Pengajian Pengkomputeran, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam, akan menyertai program misi kemanusiaan bertemakan “Humanizing Education” yang bermula pada 19 September ini.
Dalam pertemuan itu, Fng yang juga Profesor Adjung bagi TISSA turut berkongsi pengalaman syarikat miliknya, Epic Valley Group Holdings, menghadapi cabaran kemurungan ekonomi akibat pandemik berkenaan.
Justeru, beliau menasihatkan agar TISSA sentiasa merancang aktiviti dan bersedia menghadapi masa sukar di samping mencadangkan pusat pengajian berkenaan mengadakan sesi perkongsian pengalaman berkaitan perancangan strategik dan pengurusan risiko melibatkan tokoh-tokoh besar yang terdiri daripada bekas panglima tentera bagi tujuan tersebut.
Sebagai peminat aktiviti luar, beliau turut memberi pesanan agar semua peserta meneruskan latihan dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi cuaca tidak menentu sepanjang perjalanan ke Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal nanti.
Sumber berita : UUM Corp Comm & TISSA