UUM ONLINE: Tiga projek inovasi pembelajaran yang terdiri dari satu kumpulan pelajar sarjana muda dan dua kumpulan sarjana peringkat doktor falsafah dari Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia meraih pingat perak di IPITEx 2024.
Penyertaan ini adalah aspirasi dan sokongan Naib Canselor UUM bagi mengetengahkan bakat dan potensi pelajar di peringkat antarabangsa.
Pelajar Sarjana Muda, Nurul Aini Fitriah Nasip Supiadi berkata, projek inovasi yang diberi nama “MathSprint Odyssey; The Quest for Numbers” terhasil daripada hasil pembelajaran kursus Theory and Practice Curriculum in School di bawah bimbingan pensyarah UUM, Prof. Madya. Dr. Nurulwahida Azid.
“MathSprint Odeyssey ini direka bertujuan untuk membantu pelajar yang tidak mahir dalam subtopik penolakan dan penambahan nombor. Aplikasi ini juga mengaplikasikan The Constructive Align Model Bigss (2001) di mana aplikasi ini mengandungi objektif pembelajaran yang jelas, aktiviti pembelajaran interaktif yang menarik dan juga pentaksiran yang boleh menilai pencapaian pelajar bagi setiap peringkat pembelajaran.
“Aplikasi ini juga mempunyai rekod pelajar yang membolehkan guru yang memantau pencapaian pelajar. Selain itu, pelajar boleh menghubungi guru mereka terdiri daripada rakan-rakan kumpulan kami iaitu Aiman Mustaqim Mohd Noor, Muhammad Zamir Aiman Jafar dan saya sendiri sekiranya mereka mempunyai sebarang pertayaan berkaitan kandungan pembelajaran yang terdapat dalam aplikasi ini menerusi telegram,” ujarnya.
Manakala projek inovasi yang mendapat anugerah khas dari WIPPA (World Invention Intellectual Property Associations) yang dihasilkan oleh pelajar Doktor Falsafah, Siti Jaizah Nak Man yang diberi nama “Smart Social Relation Detector (Smart-Soc)”.
Siti Jaizah yang merupakan seorang guru di SMK Taman Tun Aminah, Johor Bahru berkata, inovasi ini merupakan aplikasi interaktif berfungsi menyaring kecenderungan murid yang terlibat dengan tingkah laku pembuli dan mangsa buli mengikut kategori buli iaitu buli fizikal, verbal, sosial dan siber.
“Aplikasi ini juga dibina berasaskan permainan interaktif sebelum membolehkan pelajar menjawab soalan berkaitan tingkah laku buli dan mangsa buli.
“Pada akhir aplikasi ini, pelajar akan mendapat profil kecenderungan mereka menjadi pembuli atau mangsa buli. Selain itu, kepada guru dan pihak pentadbiran disediakan cadangan program anti buli yang boleh dilaksanakan di sekolah sebagai pencengahan kepada masalah buli,” ujarnya.
Soalan saringan dan program anti buli dalam aplikasi ini telah mendapat pengesahan beberapa orang pakar psikiatri, doktor perubatan yang pernah menjalankan kajian buli, kaunselor, profesor dalam bidang psikologi dan pegawai psikologi kementerian kesihatan negeri.
“Jadi, aplikasi ini dapat membantu kaunselor di sekolah menyaring dan menyediakan program yang sesuai kepada murid berdasarkan kecenderungan murid,” katanya.
Selanjutnya projek inovasi pelajar PhD yang diberi nama aplikasi digital FELA (Fun Electric Learning Assistant) yang dibina oleh seorang guru, Zaharah Che Isa dari SMK Agama Baling Kedah merupakan satu inovasi pendidikan yang menyokong pendigitalan dalam kurikulum bagi mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi tingkatan 2 khususnya topik reka bentuk elektrik.
FELA membantu pemahaman konsep secara interaktif dengan antaramuka yang mesra pengguna, FELA membantu pelajar memahami isi pelajaran topik reka bentuk elektrik melalui simulasi visual.
FELA juga menyediakan modul pembelajaran yang dirancang untuk menarik minat pelajar melalui penerapan elemen pembelajaran berasaskan projek (Chang et al., 2018) dan konstrutivisme multimedia (Maor, 1999) yang memudahkan proses pembelajaran.
Aplikasi ini memanfaatkan teknologi untuk memberikan akses mudah dan fleksibel walau di mana pelajar berada serta pada bila-bila masa sahaja.
Melalui FELA, pengajaran menjadi lebih dinamik dan menarik, selain membantu pelajar mengembangkan pemahaman dan prestasi reka bentuk elektrik dengan cara yang mudah dan efektif.
Sumber berita : Corp Comm Dpt