Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah mengadakan Workshop on Publishing in High Impact Journal kepada kumpulan sasar iaitu para pensyarah muda bertempat di Future Learning Lab, UTLC.
Seramai 35 orang pensyarah menyertai bengkel yang di kendalikan oleh Prof. Ts. Dr. Hjh. Norazah binti Mohd Suki.
Melalui bengkel ini, para peserta bengkel berpeluang untuk berkongsi ilmu dalam penghasilan penerbitan akademik yang berkualiti serta pemilihan jurnal yang berimpak tinggi.
Pendedahan secara langsung ini sekaligus dapat memberikan panduan yang lebih baik kepada para ahli akademik serta tips untuk memilih persidangan yang berkualiti serta memberikan impak yang lebih baik kepada bahan penerbitan.
Proses ini juga sekaligus membantu dalam mencapai KPI bagi peningkatan kumulatif sitasi serta penerbitan per staf.
Peserta juga diberi peluang untuk sesi individu bersama penceramah jemputan dalam membantu peserta memperbaiki kertas penyelidikan mereka agar berpotensi untuk diterbitkan pada Scopus dan ataupun jurnal berimpak tinggi.
“Selain itu, peserta juga didedahkan cara bagaimana untuk menerbitkan kertas penyelidikan di Scopus atau jurnal berimpak tinggi, secara tidak langsung akan menggalakkan peserta untuk menerbitkan lebih banyak kertas penyelidikan berkualiti pada masa akan datang serta meningkatkan kompetensi dan kualiti pelajar-pelajar pasca siswazah UUM,” kata Prof. Ts. Dr. Hjh. Norazah.
Sementara itu, Prof. Madya Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi, Timbalan Pengarah (Penerbitan Penyelidikan), RIMC menyatakan bengkel ini adalah suatu platform dan medium yang terbaik bagi ahli akademik muda untuk mempelajari serta memperkukuh pengetahuan mereka dalam bidang penulisan akademik.
Berita oleh : Unit Penerbitan Penyelidikan RIMC