UUM ONLINE: “Nak makan kat mana hari ini?” Situasi ini sering dihadapi sesiapa sahaja lebih-lebih lagi pada musim puncak seperti majlis konvokesyen dan minggu pendaftaran pelajar baharu di institut pengajian tinggi (IPT) sekitar Changlun, Sintok dan Arau.
Biasanya ketika musim ini, limpahan pengunjung luar yang pastinya tertanya-tanya tempat makan yang selalu dikunjungi penduduk setempat untuk merasai pengalaman terbaik di kawasan ini.
Siapa sangka bijak menukar masalah menjadi peluang menerusi produk Makan@Local Chatok berjaya merangkul Anugerah Emas dan Anugerah Khas PECIPTA’19 pada Persidangan dan Expo Antarabangsa Ciptaan Institut Pengajian Tinggi (PECIPTA) 2019 di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Johor, baru-baru ini.
Makan@Local Chatok merupakan hasil ciptaan penyelidik yang kreatif dan inovatif, Dr. Siti Mahfuzah Sarif, Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin, Prof. Madya Dr. Syamsul Bahrin Zaibon, Dr. Shafinah Farvin Packeer Mohamed dan Dr. Zurina Hanafi.
Dr. Siti Mahfuzah berkata, aplikasi tersebut mengetengahkan konsep maklumat yang dikongsi oleh penduduk setempat bagi mempromosikan kedai makan terbaik di sekitar Changlun dan Sintok kepada pengunjung luar atau tempatan.
Menurutnya, kebanyakkan aplikasi berkaitan sedia ada direka untuk membantu mencari tempat makan berdekatan berdasarkan lokasi semasa pengguna.
Oleh itu, katanya, melalui aplikasi ini, mereka menyediakan cadangan kedai makan melalui pengetahuan tempatan (local knowledge) yang berkualiti bagi membantu pengguna terutama pengunjung luar untuk membuat keputusan dan menjamu selera di tempat asing.
“Apabila penduduk setempat memberi komen atau pandangan terhadap kedai makan yang mengambil bahagian dalam servis ini, mereka dapat kumpul poin dan tebus di kedai makan tersebut.
“Konsep gamification ini lebih menggalakkan penglibatan penduduk setempat untuk mengambil bahagian dan memperkayakan lagi pangkalan data M@LC dengan local knowledge yang unik dan dipercayai,” katanya.
Beliau berkata, aplikasi itu dijangkakan akan memberi faedah bersama untuk pengguna yang mencari kedai makan, pengulas kedai makan dan pemilik kedai makan tempatan yang berdaftar untuk servis ini.
Sementara itu, Dr. Mohamad Farhan berkata, penyediaan perkhidmatan Wi-Fi percuma di sekitar Changlun oleh UUM membolehkan universiti menjalankan khidmat sosialnya serta membawa inovasi kepada masyarakat.
“Usaha ini memberi peluang penduduk setempat melibatkan diri untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kedai makan khususnya di kawasan Changlun dan Sintok.
“Kajian yang dijalankan ke atas penduduk setempat rata-ratanya menunjukkan maklum balas positif di mana majoriti bersetuju bahawa aplikasi tersebut mudah digunakan, yakin dengan cadangan dan akan kerap menggunakan aplikasi,” katanya.
Beliau berkata, projek ini diinspirasikan daripada konsep Living Lab yang diilhamkan oleh Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) yang berhasrat untuk mengumpul kepakaran dari pelbagai bidang untuk membangunkan dan menguji teknologi baharu dalam kehidupan sebenar.
Menurutnya, antara impak yang disasarkan adalah untuk mewujudkan komuniti yang pintar teknologi dan melalui konsep itu, mereka belajar untuk menggabungkan kepakaran sebagai penyelidik untuk manfaat semua khususnya komuniti setempat.
Manakala bagi Dr. Syamsul Bahrin, PECIPTA menyaksikan persaingan sihat dari penyelidik dalam pelbagai bidang, sekali gus banyak memberi ilham agar terus berdaya saing dan sentiasa berfikir di luar kotak.
“Kami tidak sangka produk yang dihasilkan berjaya merangkul dua anugerah utama sekali gus. Alhamdulillah, dengan pengiktirafan ini dan kami sangat berterima kasih kepada UUM dan ICC yang meletakkan keyakinan dan kepercayaan seterusnya membuka peluang kepada projek kami.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa produk yang direka cipta oleh penyelidik UUM mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan produk-produk daripada universiti penyelidikan seperti UM, USM, UTM dan sebagainya,” katanya.