UUM ONLINE: Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) Universiti Utara Malaysia telah melahirkan 39 jurulatih kajian kualitatif dan perisian berkomputer ATLAS.ti.
Kesemua jurulatih tersebut yang merupakan pensyarah dan penyelidik pascasiswazah dari 11 institusi pengajian di Malaysia telah menyempurnakan program “Training of Trainers (ToT)”.
Program tersebut dibimbing oleh dua pakar kualitatif iaitu Prof. Madya Dr. Sarimah Shaik Abdullah, pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) UUM dan Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad, pensyarah Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) UUM dan juga felo penyelidik kanan CeTMA.
Program TOT ini telah berlangsung secara dalam talian selama 5 bulan, dari bulan Julai sehingga Disember 2023.
Peringkat pertama program ini memberi pendedahan secara intensif. Dr. Sarimah membentangkan asas kualitatif dan strategi mengajar ilmu kualitatif kepada para penyelidik.
Manakala Dr. Ani berkongsi tip dan strategi untuk mengajar perisian kualitatif berkomputer ATLAS.ti. Perisian ATLAS.ti ialah perisian analisis tekstual, gambar, audi dan audio bagi membantu para penyelidik menganalisis data secara kualitatif.
Dr. Ani juga merupakan jurulatih kanan profesional yang ditauliahkan oleh pihak ATLAS.ti Scientific Development GmbH yang berpengkalan di Berlin, Jerman.
Peringkat kedua program ini ialah pelaksanaan program latihan atau kursus kualitatif dan ATLAS.ti oleh peserta TOT kepada komuniti masing-masing.
Para peserta TOT boleh mengajar kursus atau bengkel masing-masing secara bersemuka atau dalam talian untuk mengasah kemahiran para jurulatih di samping menimba pengalaman sebagai jurulatih kualitatif dan ATLAS.ti.
Peringkat akhir program TOT ini ialah pembangunan eportfolio kejurulatihan masing-masing bagi mendedahkan kepakaran serta program latihan dan kursus yang ditawarkan oleh para peserta TOT kepada masyarakat umum.
Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Masnita Misiran mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua 39 jurulatih kajian kualitatif dan perisian ATLAS.ti.
“CeTMA mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk membimbing para penyelidik menjalankan kajian berbentuk kualitatif dan menganalisis data dengan dibantu perisian berkomputer ATLAS.ti.
“Diharapkan semua peserta TOT akan meneruskan tradisi CeTMA iaitu menyampaikan bengkel dan latihan berkualiti dalam aspek kajian kualitatif dan analisis data menggunakan perisian ATLAS.ti,” ujarnya ketika menyampaikan sijil tamat program TOT.
Susulan kejayaan program sulung TOT ini, permintaan telah meningkat untuk pengambilan Kohort 2. Oleh itu, pengambilan Kohort 2 untuk program TOT kajian kualitatif dan analisis data menggunakan perisian ATLAS.ti akan dilancarkan pada pertengahan tahun 2024 dan akan dihebahkan melalui portal rasmi CeTMA.
Sumber berita :
Corp Comm Dpt